Monday, June 30, 2008


AKU:
Jerit gollllll. dalam hati. bila si Torres jaring gol untuk Spain. Dalam hati. sebab ihah dan mama tengah lena tidur.

ISTERI & ANAK
Tengok EURO dalam mimpi.

AKU:

Alhamdulillah. Kertas Penyelidikan aku diterima di 2008 FIE conference yang akan diadakan oktober ini di New York, US. Ke US ke aku?

Selain membuat penyelidikan bidang kuasa dan tenaga elektrik, aku juga buat penyelidikan di dalam pendidikan. Cara pengajaran berkesan. Teach and REACH. Dan pastinya tak terlepas dengan Outcomes Based Education (OBE). Aku bangunkan sistem untuk OBE untuk fakulti.

Ada 4 semuanya. 2 memenangi pingat Emas di Invention, Innovation & Design UiTM 2008. 1 memenangi pingat gangsa sahaja. di International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX08) Kuala Lumpur.

ISTERI:
"Tahniah ayah", mama belanja ayah makan.

ANAK:
Ihah tumpang gembira sebab dapat tumpang makan.

Semoga Ihah jadi budak lebih cerdik.

Sunday, June 29, 2008


AKU:
Batu karang datang serang aku. Aku sakit guling-guling. Dulu. 2005. aku dah pernah buang hempedu. Angkara batu karang.

Pagi Rabu. Pukul 5 pagi. Mama bawa aku ke hospital swasta. Doktor kasi ubat. 5 biji = RM120 dan juga 2 hari MC. Aku tak tau RM120 untuk ubat atau untuk ubat + MC. Tapi aku tak beli MC.

Selasa kena. Rabu pergi hospital dan makan ubat. Khamis makan ubat. Jumaat selepas solat jumaat. Batu karang keluar bila anu rasa tak selesa. Yeyy!!!

Call mama. "batu karang ayah dan kuar".

ISTERI:
Mama happy kat dalam phone. Mama kata, "boleh buat tangkal adik supaya dia pandai". JAHAT

ANAK:
Balik rumah aku kasitau ihah. Adik senyum je. Faham ke tak. Aku pun tak tau. Dia sambung main blok ABC. Cuba nak masukkan dalam lubang huruf-huruf tu. Asyik sungguh.

Saturday, June 28, 2008


ISTERI:
Mama dapat offer dari MIMOS. Minggu lepas. MIMOS setuju untuk bayar bond mama. pada MMU. Bond kerana MMU taja mama. buat PhD dulu di Uni. Southampton. Alhamdulillah kerana MIMOS juga setuju. Kasi gaji tinggi seperti yang diminta. Mama akan jadi orang kaya. lepas ni. Bolehlah aku dan ihah tumpang kaya.

AKU:
Aku terpaksa batalkan. offer untuk sambung PhD di negara orang. MIMOS pasti takkan lepaskan mama. untuk cuti tanpa gaji setelah diberi offer yang menarik pada mama. Jadi aku hanya sambung PhD di Malaysia saja. Tanah tumpah darahku.

Tak sambung PhD di oversea. Boleh jalan-jalan ke oversea dengan cara lain. Geran penyelidikan yang baru dapat (RM187,000) boleh buat duit jalan-jalan ke conference di oversea. Pleasure time kata Timbalan Naib Canselor. Semuanya free of charge. (Ada 2 lagi geran penyelidikan dalam proses untuk diterima. Kalau terima, boleh dapat hampir RM500K. Semua ni duit rakyat. Jaga baik-baik).

*Aku tidak melihat PhD kepada title Dr. Tetapi melihat selepas PhD, mampukan aku melahirkan anak sendiri, anak seagama, anak sebangsa, anak sedunia turut sampai ke peringkat PhD dan lebih dari itu.

ANAK:
Ihah tak kisah. Ayah sambung PhD di mana. Janji besday ihah bulan ogos. Ayah dan Mama kasi kereta guna elektrik yang ihah boleh naik.

Aku toleh mama dan senyum. Mama orang kaya. Ihah pun renung mama dan senyum. Ihah tahu mama orang kaya agaknya. haha.

Friday, June 27, 2008

ISTERI:
Suatu hari itu Ibu membawa ibu aku (nenek) pergi ke nursery ambil ihah. Saja-saja bawa nenek tengok nursery yang Ihah tinggal membesar ketika ayah dan mama pergi kerja.

ANAK:
Bila ihah naik kereta, botol susunya jatuh.

"Abuk", kata ihah dalam bahasa melanau yang bermakna jatuh.

"ohhh....memang banyak habuk kereta ayah kamu ni", nenek membalas dengan penuh yakin.

Ihah tengok mama. Pelik agaknya. Mama senyum sahaja.

AKU:
Bila mama cerita kat ayah, ayah senyum sahaja. Dalam kepala...nenek pandai guna keadaan nak hentam ayah. hehehe



AKU:
Aku cat ruang tamu. warna merah macam tok pekong cina. cantik apa. Aku cat bilik kaler purple. Dinding utama dia purple pekat. Dinding lain purple tak pekat. cantik apa. Aku cat bilik ihah kaler pink. Dinding utama dia pink pekat. Dinding lain pink tak pekat. cantik apa.

ISTERI:
Mama jahit langsir. Habis ribu-ribu. Mama jahit waktu ayah dan ihah tidur. Mama jahit guna mesin jahit RM380. tapi beli masa sales. RM150. Langsir utama warna cream. Dalamnya merah hati nak padankan dengan dinding. yang kaler tok pekong cina. cantik apa.

ANAK:
Ihah tolong basuh rumah. Dia pegang paip air. Bukan pancut lantai. Tapi dia minum air.

Kami pindah rumah baru 2 bulan yang lepas. CLAIM PINDAH PUN BELUM DAPAT. Indahnya orang gomen. pindah dapat duit.


Thursday, June 26, 2008

ANAK:
Nasihah suka telefon Pak Yang dan Nak Yang (Pak Yang = Atok dan Nak Yang = Nenek di dalam bahasa Melanau). Nasihah juga suka telefon nenek. Malam hari tu Nasihah cakap dengan Pak Yang. Aku tak faham. Mama tak faham. Pak Yang pun tak faham. Sebab Nasihah bukan cakap melayu. Bukan cakap Melanau. Bukan cakap orang putih. Dia cakap bahasa dia dan kawan-kawan dia.

AKU:
Yang aku faham apa yang ihah kata....Ok...ok....bye..bye

ISTERI:
Gelak-gelak kat tepi tangga. kat tangan ada handphone. ambil video.

Teknik Ajar Anak
Ajar anak supaya berhubung dengan tok nenek dan saudara mara. supaya dia sentiasa ingat dan menjaga baik hubungan kekeluargaan. Seminggu sekali. kasi dia peluang telefon saudara mara seperti sepupu-sepupu dia. Tak apa kalau apa yang dia cakap. kita tak faham. Kasi dia biasa berhubung.


Monday, June 23, 2008

ISTERI:

Mama sudah tido lena dengan cermin mata dia. Mama memang suka tido dengan cermin mata. Bila aku tegur, dia kata nanti mimpi kabur. Padahal dia tengok tv dan akhirnya tv tengok dia.

ANAK:
Ihah terpusing-pusing gelisah tepi bawah mama. Kepala Ihah sama aras dengan lutut mama.

Tiba-tiba hati aku rasa tidak sedap hati tengok Ihah gelisah nak tido. Ihah memang macam tu. Nak tido, dia takkan senang. Terpusing sana sini.

AKU & ANAK:
Aku pergi kat Ihah, Cuit pipi dia. Dia senyum tapi mata pejam. Ihah bukak mata pelan-pelan dan angkat tangan nak suruh aku peluk dia.

Aku peluk dia. Jari dia kena pipi aku...sakit....aku tengok kuku Ihah.

"Ya Allah.....tajamnya kuku". kata aku.

Ihah ulang cakap aku...."tajammmmmm". Ihah pegang jari aku...dia kata ...

"tajammmm".

Aku kata kuku dia tajam, dia kata kuku aku pula yang tajam.

Tiba-tia dia bangun. Pergi kat mama yang tengah lena. Aku tengok je apa yang dia nak buat.

Ihah pegang jari mama dan kata...

"tajammmmm"

Aku senyum je sambil sebut...haah tajaammmm. Memang kuku mama panjang. Dalam ngantuk-ngantuk pun dia boleh bangun nak tunjuk kuku mama tajam.

Aku panggil dia supaya baring tepi aku. Dia jalan perlahan dan baring tepi aku. Dia nak pegang jari aku. Sambil jari dia tunjuk-tunjuk kat jari aku, perkataan tajam berulang banyak kali.

Dia belajar satu perkataan baru malam ni. Tajammmmm.

Aku biar Ihah baring sebelah aku sambil aku usap kepala dia. Dan pelan-pelan dia lena sambil dia peluk tangan aku yang berkuku tajam dalam anggapannya.

Teknik Ajar Anak: Aku suka bersembang dengan anak aku waktu dia nak tidur. Waktu ni adalah terbaik untuk nasihat anak. Waktu ni fikiran bawah sedar dia adalah paling kuat.

Agaknya malam ni dia mimpi kuku tajam.

Friday, June 20, 2008


Ihah dan mama ikut aku pergi Port Dickson. Ada seminar selama 4 hari 3 malam. Semua sponsor tapi tak penuh. Kena tambah RM125 semalam untuk satu apartment 1 bilik. Gomen dah takde duit. Aku tak kisah sebab selesa.

Ihah happy. Mama pun happy sebab dah lama tak berjalan. Bulan April dan Mei sibuk pindah rumah. Awal bulan Mac dulu berjalan ke Kuching. Hujung Mac ke Penang. Jadi sebab 2 bulan lebih tak pergi mana-mana, kali ini Ihah dan mama happy. Mereka happy, aku pun happy.

Mulanya aku ingat Ihah excited nak momok (momok = temok dalam bahasa melanau yang bermakna mandi). Tapi rupanya dia takut. Aku nak suruh dia mandi laut untuk hilangkan gatal-gatal dia.

Aku ada idea. Petang tu aku ajak mama pergi jalan-jalan dan belikan mainan binaan pasir.

Bila dia excited, dia mula berani dengan laut. Lastnya aku dan mama ada masalah baru.

Ihah tak nak berhenti main. Adusss.....terpaksa pujuk lagi.

Teknik Ajar Anak: Kalau dia enggan ikut cakap kita, fikirkan sesuatu yang dia suka tetapi ada kaitan dengan perkara yang kita nak dia lakukan.

Tuesday, June 17, 2008

Ihah tarik tangan aku sambil menunjuk ke arah permainan blok dia. Aku tengah surfing internet berhenti dan ikut dia. Ihah ajak aku main mainan blok dia sama-sama.


Aku yang ajar dia susun blok-blok sampai tinggi-tinggi. Kami selang seli letak blok-blok tu.

Sambil tu aku cakap, "siapa jatuhkan....kalah".

Dia memang cuba letak blok-blok tu dengan hati-hati. Tapi hati-hati dia, masih lagi keras tangannya nak meletakkan blok-blok tu satu persatu.

Sudah lama aku berhenti dari berblog. Aku aktif berbisnes dalam internet tahun 2000 dan aku berhenti dari berblog. Hari ini aku rasa aku perlu berblog kerana ada banyak tujuan.

Mencatatkan segala cerita aku bersama isteri membesarkan anak-anak aku agar suatu hari nanti, bila mereka besar, mereka boleh baca catatan aku kisah bagaimana aku dan isteri membesarkan mereka.

Aku ingin anak-anak aku tahu bagaimana aku dan isteri sentiasa memikirkan cara terbaik menjadikan mereka yang terbaik dari kalangan yang terbaik.

Aku ingin anak-anak aku tahu bagaimana teknik meningkat keupayaan pemikiran mereka sehingga menjadi manusia bijak dan cerdik bukan sekadar di dalam pelajaran tetapi dalam kehidupan.

Aku ingin kongsi bagaimana teknik yang terbaik untuk membesarkan anak-anak walaupun aku dan isteri hanya sekadar mempraktikkan apa yang kami fikirkan baik melalui penyelidikan dan bacaan kami.

Nur Durrotun Nasihah baru 1 tahun 10 bulan. Boleh membaca ABC hingga Z. Boleh mengira 1 hingga 10 walaupun pelat. Ihah nama yang dipanggil isteri aku lebih banyak cakap MELANAU (bahasa ibunda isteri aku) berbanding cakap melayu.

Ihah boleh menyanyi lagu ayahku pulang dari kota, twinkle star, oh macdonald dan macam-macam lagi walaupun kadang-kadang aku dengar dia cuma sambungkan ayat akhir sahaja.

Ihah akan tarik tangan aku dan isteri aka mama kalau dia nak buat sesuatu yang tidak mampu dilakukan sendirian terutama nak buka peti sejuk. Asyik nak buka peti sejuk saja.

Ihah akan suruh aku sapu ubat kalau kulit dia gatal.

Ihah akan bantu mama angkat bantal dan bantu bentang toto depan TV bila sampai waktu rehat-rehat dan tidur.

Ihah teror memunggah. Satu-satunya sikap dia yang aku susah nak ubah.

Ihah suka pukul aku dan mama. Satu lagi sikap yang mencabar aku dan isteri untuk mengubahnya.

Ihah....bagi aku budak cerdik untuk kanak-kanak yang baru berumur 1 tahun 10 bulan.

Semoga hari ke hari aku boleh mencatatkan kisah aku anak dan isteri.

p/s anak kedua....aku baru hantar proposal kat isteri aku. Kalau diterima, boleh lah tambah sorang lagi. Kalau ditolak, kena buat review dan hantar bila ada vacancy.